Friday, December 26, 2008

...Selamat Menyambut Tahun Baru 1430 Hijrah...

Satu Muharam detik permulaan Perkiraan tahun Islam hijrah Perpindahan Nabi dan umat Islam Dari kota Mekah ke kota Madinah Atas keyakinan dan iman yang teguh Kaum muhajirin dan ansar bersatu Rela berkorban harta dan nyawa Demi menegakkan Islam tercinta Hijrah itu pengorbanan Hijrah itu perjuangan Hijrah itu persaudaraan Hijrah membentuk perpaduan Oleh itu, mari semua Kita sambut maal hijrah Tingkatkan semangat Tegakkan syiar Islam Untuk sepanjang zaman "SALAM MAAL HIJRAH DAN SEMOGA TAHUN INI KITA AKAN MENJADI HAMBA-NYA YANG SENTIASA MEMPERTINGKATKAN IMAN...SALAM 1 MUHARRAM"

Thursday, December 11, 2008

...Kenapa Haiwan Mesti Disembelih Sebelum Dimakan?...

"Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha. Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas. Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh.Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati. Tetapi sekali lagi apakah pandangan Barat ini benar? Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan daging.Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama ALLAH." (Tafsir al-Rahman, Jakim). Babi satu-satunya binatang yang tidak mempunyai leher. Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan. Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini dikaji pakar Jerman. Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar. Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing', menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan. Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan. Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP). Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalogra ph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP. Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit. Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan. Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu. Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu.Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan."

Saturday, December 6, 2008

...40 Tips untuk jimatkan minyak petrol...

  1. Servis kereta ikut jadual - kereta yg di maintain dgn baik akan beroperasi pada kecekapan maksimum
  2. Penapis udara dan penapis minyak petrol kena check! (Penapis minyak petrol kene tukar 40 000 km sekali)
  3. Spark plug perlu dlm keadaan baik ( Tak hitam & gap OK )
  4. Tayar perlu diisi angin dgn pressure yg betul, kalu tayar tak cukup angin, minyak makan...
  5. Pakai kereta yg CC rendah tapi kalau nak pakai yg CC tinggi pun boleh cuma system kene bagus la macam Honda i-VTEC, Toyota VVTi atau pakai sistem
  6. Jangan tarik pick-up lebih 3000 rpm setiap gear , tapi sekali-sekala boleh la takut engin lemau.
  7. Go slow man ! jangan speeding .90-100 km/j tu kira ok la.., tapi kalau terbakar sebab ada orang ajak race - kejar.. jgn tak kejar
  8. Elakkan kesesakkan jalan raya, lagi lama tersangkut (engin idle) lagi makan minyak (kene tukar gear selalu)
  9. Kalau parking menunggu tu, matikan engin
  10. Berkongsi kereta
  11. Naik motor (4 lejang)
  12. Naik Basikal
  13. Naik pengangkutan awam
  14. Guna tayar kereta yang low profile dan ada special rubber compound (Grip tinggi rintangan kurang)
  15. Pakai rim tayar biasa dah le, kalu nak pakai sport rim biar sesuai dgn kereta (dapat pakai macam rim motor lagi bagus - ringan maa... macam kereta klasik)
  16. Isi minyak kat stesen minyak yang pakai meter analog
  17. Tingkatkan tahap kecekapan pembakaran engin, kalau kereta biasa - 80% daripada campuran bahan api dibakar dgn sempurna. Kalau nak tingkatkan ke 90% pakai high frequency converter dlm sistem spark plug seperti Stromberg ataupun pakai special magnet pada talian minyak (Dah terbukti !!!)
  18. Isi minyak slow-slow masa kat stesen minyak. Isi minyak sambil minum kopi dan borak-borak
  19. Elakkan jalan berbatu dan tanah merah
  20. Gunakan engin Hybrid (gas-electric)
  21. Guna engin Electric (pakai bateri)
  22. Gunakan tenaga solar
  23. Kurangkan penggunaan air-con,
  24. Kalau kat highway tu, cucuk angin kereta lain (follow belakang kereta lain utk kurangkan daya tolakan angin (Di sarankan cucuk angin kereta yg power sahaja seperti Mercedes, BMW, EVO )
  25. Buang Catalytic converter pada system ekzos dan ganti dgn free flow center bullet (Tapi sebelum buat pastikan tahap kecekapan pembakaran engin anda ditingkatkan, kalu tidak banyak asap keluar beb)
  26. Ganti ekzos belakang dgn free flow ekzos (Kalu takut bising, cari yg brand baik punyeee, mesti marii)
  27. Loweredkan kereta anda
  28. Pakaikan kereta anda skirt labuh tapi jangan cecah jalan dah la.Ini bertujuan untuk kurangkan rintangan angin, tapi skirt tampal tak main sebab takut angin tembus
  29. Kalau nak pergi kedai kat rumah tu, jalan kaki lagi bagus, boleh exercise
  30. Cari tempat kerja dekat dgn rumah, kalau dapat tidur,makan, berak,mandi kat office lagi best.
  31. Petrol mudah terpeluwap, jadi kalau nak isi minyak isi time pagi atau waktu sejuk dan kalau dapat parking tempat redup lagi best. Cuba korang kene jemur.. masak dibuatnye.
  32. Kalau nak isi petrol kat stesen minyak pastikan isi penuh, tak payah nak ulang alik cari stesen minyak
  33. Jangan bawak banyak barang. Kalau boleh bawak yg perlu sahaja.
  34. Penggunaan minyak bergantung kepada weight/power ratio - power kereta dah fix, bila berat bertambah - nisbah meningkat dan penggunaan minyak pun meningkat. Lagi satu, cuba-cubalah kuruskan badan tu sikit dan turunkan perut tu....
  35. Tinted cermin kereta anda (Semua cermin). Lagi kurang cahaya matahari masuk, lagi bagus (cthnya gold dust 95% block heat) sebab ia berkaitan dgn penggunaan air-con dan emosi anda. Contohnya, kalau air-con kurang guna atau guna pada tahap minimum, minyak pun save dan anda pun kurang terbakar atau kurang nak marah sebab ada kajian menunjukkan cuaca panas akan meningkat tahap kebrutalan seseorang itu Bila dah 'panas' mula la jadi samseng jalan raya
  36. Terdapat juga teknologi baru dimana kadar ketembusan cahaya pada cermin kereta anda boleh diubahsuai (Kat negara kita belum dikomersialkan) menggunakan tenaga elektrik drp bateri anda. Bila nak parking - gelapkan cermin kereta, bila nak drive cerahkan balik. Rujuk [ fcp://@fc.ramunia.com,%2318476420/ MailBox/_ blank/home.howstuffworks. com/smart- window.htm ]http://home. howstuffworks. com/smart- window..htm
  37. Gantikan Air filter kereta anda dengan filter K&N sebab filter K&N diperbuat daripada gentian kapas dimana kadar aliran udara adalah lebih tinggi daripada filter biasa yg diperbuat dari kertas dan mudah tersumbat
  38. Boleh cuba pakai micro-compressor (www.micro-compresso r.com) atau Air Injector (www.air-injector. com)
  39. Kalau nak pergi kerja tu, keluar la awal sikit, takde la terkejar-kejar. Rilek je drive dan tak sakit kepala. Perbanyakkan stesen Petronas
  40. Pasang intercooler pada enjin anda (bila suhu enjin diturunkan, power meningkat dan boleh save minyak

...Minyak - Ulasan Mahmoud Ahmadinejad...

Minyak mentah dunia sekarang dah berharga bawah 50USD. Apa yang kita dapat sebagai rakyat Malaysia? Aku ada terjumpa ulasan dari Perdana Menteri Iran yang aku rasa banyak perbezaan dengan Perdana Menteri Malaysia. Cara pemikirannya mengambarkan yang beliau memikirkan kepentingan tenaga bukan sahaja untuk rakyat Iran tetapi untuk Umat Islam keseluruhannya. Bagaimana pula perancangan bakal Perdana Menteri Malaysia yang baru ini. Adakah idea²nya nanti dapat memajukan negara dan akhlak anak² kita terjaga dari gejala sosial yang teramat sekali membimbangkan.. Apa pendapat hampa? cuba tgk video nie. Video - Minyak - Ulasan Mahmoud Ahmadinejad

...Kanak-kanak hilang lagi...

yang dulu pun belum jumpa lagi, tambah lagi sorang.. macamna esok @ lusa.. Ya ALLAH.. lindungilah anak² kami semua.. Amin.. Saya memohon jasa baik anda semua, sekiranya terjumpa atau terserempak dengan kanak-kanak ini yang bernama Nur Khairunnisa Syahida, sila hubungi En. Rosli di talian 013-606 5757 atau e-mailkan ke nurshah_shanur@yahoo.com.sg / norliza_cni@yahoo.com secepat yang mungkin. Anda juga boleh menghubungi balai polis yang berdekatan dengan tempat anda. Kanak-kanak ini telah hilang dari 14hb November 2008 yang lalu. Beliau dilihat kali terakhir memakai t-shirt berwarna hitam dan berseluar jeans berwarna biru. Pelbagai usaha telah dijalankan namun belum berhasil. Tolong panjangkan berita dan gambar ini kepada semua kenalan anda. Sekian, terima kasih.

Friday, December 5, 2008

...Selamat Hari Raya Aidiladha...

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah. Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t. Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya. Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah. Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri. Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin. Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan. Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

Thursday, December 4, 2008

...Meningkatkan Keyakinan Diri...

Di dalam persekitaran yang penuh cabaran ini, pasti semua individu menghadapi masalah yang tidak dapat dielakkan, iaitu masalah Keyakinan Diri. Bagaimana kita mengekalkan atau meningkatkan keyakinan diri kita? Berikut merupakan beberapa tip yang boleh diambil sebagai panduan untuk meningkatkan keyakinan diri anda : Kita sebagai seorang individu yang normal atau kurang upaya, mempunyai kelebihan dan kekurangan diri masing-masing. Oleh itu, anda yang dapat mengenali diri anda dengan baik pasti anda mengetahui kelebihan dan kekurangan diri anda itu. Dengan itu, anda diminta untuk mengasah kelebihan anda dan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Dengan cara ini seseorang itu betul-betul menghargai usaha sendiri dan puas dengan apa yang dikecapi hasil daripada usaha yang dilakukan. Kedua, ambil risiko. Anggap kegagalan merupakan satu proses pembelajaran dan pengalaman. Jika anda gagal tidak bermakna anda tidak berkebolehan. Mungkin kegagalan itu berpunca daripada keterbatasan kebolehan atau kemahiran diri. Jangan risau bahawa kemahiran hidup boleh dibentuk dan anda pasti akan mampu untuk berjaya sekiranya anda memperbaiki segala kelemahan yang ada daripada pengalaman kegagalan yang lalu. Ingat!!! Anda mungkin tidak semestinya akan berjaya setelah mencuba untuk kali kedua.. anda mungkin kena melalui percubaan demi percubaan tidak kira berapa kali, 3...4...10...100 dan ........ Jika tidak berjaya juga jangan bimbang, mungkin anda memang tidak berkebolehan untuk melakukannya... ingat bukan itu sahaja yang anda boleh lakukan... banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan. Ketiga, sentiasa berfikiran positif. Jika anda dihantui oleh fikiran negatif, ingatkan diri anda bahawa anda mempunyai kelebihan yang lain yang boleh dimanfaatkan. Sebagai contoh, katakan kawan anda amat pandai dalam pengiraan (subjek matematik) dan anda pula mudah untuk mengingat (subjek sejarah). Anda dan kawan anda boleh belajar bersama secara berkumpulan dan saling tolong-menolong untuk mencapai kecemerlangan akademik. Ingat sentiasa berfikiran positif bahawa anda melakukannya untuk faedah anda dan kawan anda iaitu untuk berjaya. Ingat apa yang anda lakukan, lakukan untuk diri anda. Abaikan apa yang diperkatakan oleh orang lain tentang diri anda, apa yang penting adalah anda menyayangi diri anda dan anda lakukan hanya untuk kesejahteraan diri anda. Nobody Perfect!

Tuesday, December 2, 2008

...Orang Melayu miskin kerana siapa?...

Oleh Mahfuz Omar BRITISH tidak meruntuhkan orang Melayu dengan menjatuhkan Raja-rajanya, tetapi dengan melahirkan pemimpin-pemimpin Melayu yang rakus dan tidak mempunyai jati diri. Maka, selepas Perang Dunia Kedua, lahirlah sekumpulan aristokrat Melayu berpendidikan Barat untuk diserahkan kemerdekaan Tanah Melayu kepada mereka. Selepas 50 tahun mereka mengambil alih kuasa daripada penjajah, orang Melayu menerima nasib seperti orang India. Yang berbeza hanya orang India dilumpuhkan oleh penjajah, tetapi orang Melayu dibangsatkan oleh anak bangsa sendiri yang menjadi alat kepada penjajah. Dan memang tidak menghairankan apabila Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati 301,000 keluarga orang Melayu berada pada paras pendapatan kurang daripada RM1,000. Jika satu keluarga mempunyai purata lima orang ahli, maka lebih 1.5 juta orang Melayu menghadapi masalah ini. Bukankah selepas 13 Mei 1969, telah dibentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membela kaum Bumiputera, tetapi mengapa ia gagal. Orang Melayu terus mengungguli carta kemiskinan, di samping carta masalah sosial juga. Apakah kita tidak sedar selama ini orang Melayu sendiri yang menguasai politik negara dan mereka mempunyai bidang kuasa untuk membela kepentingan orang Melayu? Nah! Sekarang orang Melayu sesudah 50 tahun di bawah ketiak Umno mereka terus merempat. Yang membesarkan tembolok hanyalah pemimpin Umno dan anak menantu mereka. Orang Melayu yang lain tidak memperoleh apa-apa. Di kalangan pemimpin Umno sendiri mereka lebih ghairah untuk bercakap soal mahu lawan atau tarik diri dalam pemilihan parti, daripada bercakap soal nasib bangsa dan negara. Tidak adapun sungutan yang benar-benar serius terhadap kedudukan orang Melayu sekarang. Umno lebih berminat untuk mengagihkan kekayaan negara kepada kroni-kroni mereka, tetapi tidak mahu langsung membantu orang-orang Melayu yang miskin. Kalau nampak seperti hendak ditolong pun, ialah kononnya membela orang yang terbiar di negeri yang dikuasai pembangkang. Sudah berapa banyak projek-projek raksasa diwujudkan untuk kroni, tetapi tidak memberikan manfaat kepada orang Melayu. Dalam dunia pendidikan yang dianggap jambatan untuk memisahkan orang Melayu daripada kemiskinan, bukan sahaja bahasa Melayu terpinggir, sekolah-sekolah agama milik orang Melayu juga turut menjadi mangsa. Di universiti-universiti awam, sektor-sektor pendidikan yang strategik di fakulti perubatan, undang-undang, perakaunan, ekonomi, kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan dan seumpamanya, jumlah pelajar Melayu amat sedikit berbanding bangsa lain. Orang Melayu lebih banyak ditempatkan di fakulti sastera, pengajian Islam, sains sosial dan sebagainya yang dilihat kurang nilai komersialnya. Maka orang Melayu sukar untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan ini. Di IPTS seperti MMU yang banyak melahirkan tenaga profesional yang laku di pasaran pekerjaan, hanya 20 peratus sahaja tenaga akademiknya orang Melayu, manakala pelajarnya yang berbangsa Melayu pula hanya sekitar 25 peratus. Amat jelas sekali bahawa Umno tidak mempunyai komitmen dan tidak serius langsung dalam mengangkat martabat orang Melayu, melainkan retorik kosong sahaja. Orang Melayu jangan terkeliru dengan isu-isu perkauman seperti isu Pengurus Besar PKNS, isu sewa Flat PKNS, isu ladang babi moden atau isu orang bukan Melayu di UiTM, kerana ialah adalah isu kulit sahaja. Yang lebih besar ialah apakah pembelaan kerajaan Umno terhadap orang Melayu atau Bumiputera. Selama ini, Umno hanya membantu menambahkan kekayaan pemimpin mereka, sehingga ada yang membina banglo lebih besar daripada istana. Mereka bercakap seolah-olah Pakatan Rakyat lebih mengutamakan orang bukan Melayu, tetapi Umno yang mempunyai kuasa yang lebih besar, langsung tidak mempedulikan orang Melayu. Dalam keadaan seperti ini, dengan kegawatan ekonomi global, maka orang Melayu akan terus tersingkir daripada arus perdana. Orang Melayu paling miskin, paling ramai penagih dadah, paling ramai bermasalah sosial, paling tercorot dalam pendidikan dan sebagainya. Bahkan, kuasa politik orang Melayupun turut terjejas kerana permainan politik Umno. Jika dalam tempoh 50 tahun sahaja, nasib orang Melayu sudah tidak menentu, bagaimana agaknya orang Melayu 50 tahun akan datang jika Umno terus diberikan kepercayaan. Orang Melayu mesti sedar hakikat ini dan data-data Jabatan Perangkaan itu hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada ratusan masalah lain yang dihadapi sekarang. Ayuh orang Melayu, membebaskan diri dari Umno, atau terus melayu!.. p/s: Sudah terang lagi bersuluh.. tapi masih ada lagi member² aku yang sokong umno.. aku pun xtau kena depa suka sgt dengan umno.. nak kata hidup senang.. tak la juga.. boleh la orang kata.. tapi masih lagi sokong umno.. hai.. sampai bila bangsa melayu nak maju nie??

...Cara segera atasi stress...

"Apakah yang patut anda lakukan apabila anda mempunyai bebanan masalah dan tugasan yang perlu diselesaikan? Banyak perkara atau masalah yang sering berlegar di dalam minda dan fikiran seseorang membuatkan seseorang itu akhirnya merasakan satu himpitan masalah yang akhirnya menjadikan tekanan pada seseorang. Apatah lagi pada waktu malam yang sepatutnya setiap insan perlu mendapatkan tidur yang secukupnya tetapi masalah berlegar-legar secara sengaja atau ianya berputar sendiri di dalam kotak pemikiran sehinggakan mereka merasakan terganggu hendak tidur. Kadang-kadang masalah di tempat kerja terbawa-bawa hingga ke tempat pembaringan. Sepatutnya apabila masuk waktu tidur, anda perlu dapat melelapkan mata dengan aman tetapi seringkali pada ketika itu bebanan masalah anda menghimpit perasaan sehinggakan ada sesetengahnya menghidap insomania (penyakit sukar tidur) dan ada pula yang terpaksa menelan pil tidur yang mana amalan ini hanya mengundang kemudaratan pada sistem biologi badan. Semua orang sedia maklum bahawa untuk memperolehi kesihatan yang baik maka tidur yang cukup amat diperlukan. Jadi apakah yang perlu anda lakukan supaya anda dapat mengatasi masalah tersebut? Sebelum masuk tidur amalan yang perlu dan boleh anda lakukan ialah :
  • Memberus gigi.
  • Mengambil air sembahyang
  • Minum segelas air masak atau bercampur madu/susu
  • Membaca Al-Quraan dan berzikir
  • Menulis segala permasalahan anda pada hari itu di dalam sebuah buku dan katakan dengan tegas :
Segala masalah yang aku tanggung telah aku curahkan di dalam buku ini. Tiada yang tertinggal lagi di dalam minda aku. Jadi apabila aku tutup buku ini semua masalah aku ditanggung oleh buku ini dan sewaktu aku tidur dengan izin Allah minda bawah sedar aku akan mencari cara yang bijaksana untuk penyelesaian. Jadi aku dengan tegas tidak perlu memikirkan lagi masalah ini. Aku mesti dapat rehat yang secukupnnya. Beritahu pada minda anda betap leganya perasaan anda. Dengan cara ini segala bebanan masalah anda telah anda curahkan pada sebuah buku .Minda anda akan tenang dan anda tidak perlu risau lagi memikirkannya> Serahkan diri anda pada Allah dengan membaca doa tidur yang bermaksud " Dengan nama Allah aku hidup dan mati' Atau anda boleh juga membayangkan satu butang PADAM (DELETE) dalam bayangan minda dan padamkan segala memori yang anda tidak suka.Inilah kemampuan minda bawah sedar anda boleh melakukan sesuatu yang tidak pernah anda fikirkan. Atau anda boleh memasukkan imej positf, suara dalaman positf dan rasakan perasaan positif sehingga anda rasakan ianya benar-benar berlaku pada diri anda kerana ini juga merupakan harapan dan doa anda supaya sesuatu yang baik akan berlaku. InsyaAllah minda bawah sedar anda akan menolak semua kebimbangan yang wujud dalam diri anda dan dapat menunjukkan jalan penyelesaian yang tidak pernah anda terfikirkan. Oleh itu perbanyakkan menyebut Ya Alim 77 kali kerana Allah maha mengetahui dan akan mengilhamkan pada anda suatu penyelesaian yang menakjubkan. Kesimpulannya apa sahaja permasalahan anda jangan biarkan ianya berlegar di dalam kepala maka tuliskanlah supaya minda anda dapat melihat dengan jelas apa sebenarnya masalah anda! Sumbangan artikel blog cahaya akal http://mindataqwa.blogspot.com

Monday, December 1, 2008

...Cukur jambul amalan bidaah orang Melayu...

Oleh ZUNAIDAH ZAINON Amalan cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunnah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husien, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Bagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi menggantikan perak. Bahkan, mengikut Islam juga, pada hari ketujuh akan dilakukan tahnik, jelas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz. Menurut beliau, amalan tahnik adalah memasukkan sesuatu yang manis seperti manisan madu lebah atau buah tamar yang dihancurkan dan memalitkannya ke lelangit bayi. Sebaliknya, cecair manis hanya disapukan ke bibir bayi dan bukannya ke dalam mulut sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w.. Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat. Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur rambut anak-anak hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul sebagai adat dan tradisi yang telah dilakukan sejak turun temurun. Tambah mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa. Memandangkan terdapat beberapa perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, maka ulama berpendapat, mengamalkan adat cukur jambul adalah bidaah dan khurafat. Paling menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Islam yang cuba menghidupkan kembali kepercayaan seperti ini. “Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur jambul adalah tradisi dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat India seperti menggunakan buah kelapa. “Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa? Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?” kata beliau. Selain amalan-amalan di atas yang bertentangan dengan syariat agama, kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian dihias dengan bunga-bungaan dan perhiasan lain. Menurut Abu Hassan, upacara cukur rambut tidak perlu disertakan dengan marhaban atau berzanji. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan. “Tetapi kadang-kadang disebabkan rasa gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga, kita mengadakan majlis secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan. Perbuatan ini tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah s.w.t.. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak, maka ia adalah menjadi satu kesalahan,” ulas beliau mengenai kecenderungan masyarakat hari ini yang gemar mengadakan majlis cukur jambul secara besar-besaran. Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan sama ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepercayaan dan tradisi agama lain. Kebanyakan amalan yang dijadikan adat bagi orang Melayu dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang sekian lama diamalkan di negara ini. Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika itu menganut agama Hindu. Antara adat yang tidak boleh dipisahkan oleh masyarakat Melayu ialah persandingan dan menepung tawar pengantin ketika majlis perkahwinan. Walaupun Islam tidak melarang tetapi dari segi perlaksanaannya ia tetap bertentangan dengan syariat agama. Contohnya, menghiaskan pengantin dan ditambah dengan pelamin yang berhias bunga-bungaan dan sebagainya. Kemudian, pengantin diletakkan di atas pelamin dan diadakan upacara merenjis dan menepung tawar. Malah pengantin perempuan pada hari ini juga cenderung melukis pelbagai bentuk dan corak pada tangan mereka sedangkan ia jelas bertentangan dengan hukum Islam yang melarang sebarang lukisan dilakukan pada anggota badan. “Sebenarnya terlalu banyak adat dan tradisi yang bertentangan dengan syariat tetapi masih tetap diamalkan oleh masyarakat Melayu. Sepatutnya semua perkara bidaah ini harus dihentikan demi menjamin kesejahteraan ummah. “Justeru, demi kebaikan bayi yang dilahirkan supaya menjadi manusia yang berguna kelak, tidak seharusnya mereka didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil,” tegas beliau. Adat cukur jambul Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan. Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan iaitu sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih. Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa yang dihias dengan lilitan rantai emas atau perak disekelilingnya diletakkan di dalam sebiji batil. Kesemua rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan. Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain. Adat berendoi Semasa adat berendoi, bayi akan diletakkan di dalam buaian dengan menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga nazam atau marhaban dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...